Pages

Ads

Thursday, August 22, 2013

Kenali apa itu kelemumur

Soalan 1
Saya sering mengalami kegatalan dan kelemumur di kepala. Saya sudah puas mencuba pelbagai jenis syampu dan rawatan kepala. Benarkah perkara ini disebabkan masalah stres? Mohon penjelasan daripada doktor.
n Murni, Kedah





Jawapan
Rambut adalah mahkota buat wanita. Menjaganya bukan sukar tetapi tidak mudah. Tidak kena gaya, rambut akan mudah rosak, berkelemumur, gugur dan beruban sebelum masanya. Walaupun bertudung penjagaan rambut tetap diutamakan apatah lagi memerlukan lebih perhatian berbanding mereka yang tidak. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu mengundang masalah kelemumur yang serius.
Setiap individu perlu mengetahui analogi, fisiologi dan punca biasa untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut. Biasanya masalah kelemumur ini disebabkan beberapa perkara, iaitu seborrheic dermatitis, kulit kepala kering, gatal dan berkeruping, kurang mencuci rambut, psoriasis, ekzema, sensitif pada sesetengah produk dan juga disebabkan jangkitan yis malassezia.
Seborrheic dermatitis biasanya menunjukkan simptom gatal-gatal, kulit kepala berminyak atau kulit kepala kering, gatal dan berkeruping. Keadaan ini disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak berbanding lain-lain punca yang menyebabkan kelemumur.
Bagi wanita yang kurang mencuci rambut juga mudah mendapat masalah ini. Jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, menyebabkan kelemumur.
Ada sesetengah wanita menghidap masalah psoriasis yang merupakan sejenis penyakit kulit biasa yang menjejaskan kitaran hidup sel kulit akibat sel tumbuh dengan cepat pada permukaan kulit, membentuk sisik tebal, berkilat yang gatal, kering, kemerah-merahan dan kadang kala menimbulkan rasa sakit berlarutan. Keadaan ini biasa berlaku di lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala. Penghidap penyakit kulit ekzema juga biasa mengalami kelemumur.
Bagi wanita yang mengalami masalah sensitif pada sesetengah produk rambut akan menyebabkan kulit kepala menjadi kemerahan dan gatal. Sebenarnya terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.
Masalah kelemumur ini juga boleh disebabkan jangkitan yis malassezia. Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir kesemua individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah. Namun apabila tidak terkawal, ia akan merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil. Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal dan bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia kelihatan memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut juga pakaian anda. Namun punca sebenar malassezia tidak diketahui. Boleh jadi disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti parkinson, sistem imun terganggu, tidak mencuci dengan kerap dan semua masalah ini menyumbang kepada kelemumur.
Elok berjumpa dengan pakar dermatologi (pakar kulit) bagi mendapatkan rawatan yang tepat bagi masalah yang dialami.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130609/kn_01/Kenali-punca-kelemumur#ixzz2Vy36xWuF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments :

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...